Tuesday, September 26, 2006

SYIAH RAFIDHAH DI ANTARA KECUAIAN ULAMA & KEBINGUNGAN UMMAH

“Jika ulama syiah dulu mengatakan Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman jahil tentang Islam, maka Khomeini juga menulis demikian di dalam Kasyf Al Asrar(ms 110-111).

Jika ulama syiah dulu mengkafirkan Saidina Umar, maka khomeini juga mengatakan demikian. Jika syiah dulu mengatakan Saidina Abu Bakr, Umar dan sahabat-sahabat yg lain memeluk Islam kerana motif politik dan inginkan kuasa, khomeini juga mengatakan demikian dalam Kasyf Al Asrar(halaman 114,edisi farsi) dan sampai mati khomeini tidak pernah menafikan apa yg ditulisnya sebelum ini walaupun dikritik dan ditegur oleh ulama Ahli Sunnah di seluruh dunia.”

(Syiah Rafidhah Di Antara Kecuaian Ulama & Kebingungan Ummah, Maulana Mohd Asri Yusoff, ms 80)

Dipetik dari buku tulisan ulama Kelantan, Ust Mohd Asri Yusoff(lebih dikenali dgn panggilan Maulana Asri kerana beliau grad from Univ Darul Ulum, Lucknow, India di mana al Marhum Sheikh Abu Hassan Ali Al Nadwi menjadi Rektornya) di dalam bukunya SYIAH RAFIDHAH DI
ANTARA KECUAIAN ULAMA & KEBINGUNGAN UMMAH.


Buku ini cukup ilmiah dan padat dengan bermula dari pengenalan siapa syiah, sumber syiah, bukti penyelewengan syiah dan kritikan serta fatwa ulama sejak zaman dulu hingga sekarang.

KHOMEINI DAN SYIAH 13

Kesimpulan


Al-Marhum Said Hawwa menyeru melalui risalahnya ini agar pemuda-pemuda yang bekerja untuk Islam tidak tertipu dengan Revolusi Iran dan strategi Khomeini yang menghidangkan kepada umat Islam sebuah model negara yang batil, mundur dan dipenuhi perhambaan sesama makhluk.

Beliau juga mengingatkan kita supaya tidak mengabaikan amaran-amaran Rasulullah SAW tentang kemunculan Dajjal bersama Yahudi dari Asfahan dan Khurasan sebagaimana yang tertera di dalam beberapa buah hadith sahih di dalam Sahih Muslim dsb.


Penutup


Said Hawwa membawa pembaca supaya menilai Surah Al-Fatihah yang memulakan perbicaraan dengan masalah aqidah, kemudian ibadah dan seterusnya barulah sistem hidup. Ini menjadi dalil bahawa sistem hidup yang betul adalah kesan daripada ibadah yang sahih dan aqidah yang benar.
Kerana itulah kita menekankan soal aqidah sebagai keutamaan. Segala yang dibawa oleh Khomeini adalah bertentangan dengan usul Ahli Sunnah wa Al-Jamaah. Oleh yang demikian menjadi tugas pada ahli Islah umat supaya membuka mata masyarakat tentang kemerbahayaan Khomeinisma.
Iran mesti disucikan semula kepada aqidah yang benar. Membantu Khomeinisma dan Khomeini adalah pengkhianatan kepada Allah, Rasul dan sekalian mukmin. Sesungguhnya Syiah adalah penyokong kepada tentera Tatar, dan Moghul, tentera Salib dan Kufar. Mereka membantu sesiapa sahaja yang menentang umat Islam dari kalangan Ahli Sunnah wa Al-Jamaah, dan sejarah sepanjang zaman membuktikannya.

Sebagai penutup, Said Hawwa membuat kesaksian di hadapan Allah, bahawa (dengan penjelasan terhadap semua hakikat yang telah disebutkan di dalam risalah ini) sesungguhnya beliau melepaskan diri dari Khomeini dan Khomeinisma serta sesiapa sahaja yang menyokong, membantu dan bekerjasama dengannya. Sesungguhnya ya Allah, hambaMu ini juga memohon taufiq agar diselamatkan dari Khomeini dan Khomeinisma,
Amin.

Wa Sallahu ‘Ala Sayyidina Muhammad wa ‘Ala Alihi wa Sahbihi wa Sallam

KHOMEINI DAN SYIAH 12

Said Hawwa telah menghuraikan dengan terpeinci segala perkembangan semasa golongan Syiah pasca Revolusi Iran di tanah air umat Islam. Hakikat Hizbullah dan Harakah Al-Amal, perkembangan di Lubnan, Syria, Turki, Pakistan dan India, pemisahan Pakistan Timur (Bangladesh), bahkan mengunjur hingga ke Afrika, semuanya menggambarkan siapakah sebenarnya pendukung Khomeinisma dan apakah hakikat mereka.

Catatan paling hitam peperangan Iran – Iraq telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kekuatan umat di rantau berkenaan.

Beliau juga menjelaskan tentang kerjasama-kerjasama sulit Iran dengan negara-negara seperti Libya, Lubnan, bahkan dengan Israel dan Soviet Union. Said Hawwa menekankan tentang lawatan berterusan wakil-wakil kerajaan Soviet Union ke Iran yang mana semua itu bercanggah sama sekali dengan laungan-laungan Khomeini di era Revolusi Iran yang diperjuangkannya.

Kekayaan umat Islam terbuang semata-mata untuk menghadapi gejala ini, bahkan kebangkitan Umat Islam juga mengalami kerugian akibat penglibatan Syiah di dalam gelanggang kebangkitan umat. Anasir-anasir kekuatan umat Islam banyak dipengaruhi Syiah lantas kelebihan itu tersalur ke arah yang bukan membawa kepada matlamat sebenar perjuangan umat, bahkan ke arah kepentingan Syiah semata-mata.

Penampilan proses perlaksanaan Islam yang salah berlaku di Iran, apabila perlembagaan Iran mengaktakan mazhab sebagai dasar negara. Tidak hairanlah Ahli Sunnah wa Al-Jamaah yang
mewakili sejumlah besar penduduk Iran, ditindas dengan begitu kejam, dinafikan hak mereka dan disekat dari berperanan sebagai insan yang berkerakyatan penuh.

Jika sebahagian Syiah bersikap melampau di dalam prinsip taqiyyah (berpura-pura) mereka, kini di era Khomeini dan Revolusi Iran, taqiyyah itu menjangkau kepada penglibatan senjata api. Di suatu masa, Khomeini melaungkan penentangannya terhadap penguasaan Yahudi di Palestin tetapi di dalam masa yang sama, mengadakan kerjasama sulit dengan pihak musuh itu dan
memberikan kemaslahatan kepada mereka.

KHOMEINI DAN SYIAH 11

BAB 2 (PENDIRIAN-PENDIRIAN GANJIL KHOMEINI)


Said Hawwa memulakan bab ini dengan menghuraikan tentang latar belakang pertembungan Sunni dan Syiah di dalam Sejarah Islam.

Memetik kata-kata Sultan Abdul Hamid II (Khalifah Daulah Othmaniyyah 1876 – 1908),
“Sesungguhnya permusuhan di antara Kerajaan Safavid (Syiah) dan Othmaniyyah (Sunni) tidaklah untuk kepentingan umat Islam bahkan untuk kemaslahatan kufur dan kaumnya...”

Kita mengharapkan agar kedua belah pihak, antara Sunni dan Syiah saling memahami hakikat tersebut supaya peperangan dan permusuhan tidak kembali mengambil tempat.


Akan tetapi Khomeini telah menjadikan permusuhan itu sebagai suatu kewajipan di pihaknya sehingga mengundang kerugian kepada umat Islam.

Sejarah juga telah memperlihatkan pengkhianatan Syiah Safavid bekerjasama dengan Belanda menentang Khilafah Othmaniyyah. Bahkan sebelum itu, mereka telah memainkan peranan menjatuhkan Khilafah Abbasiyyah di Baghdad.


Pengkhianatan berterusan di zaman Salahuddin Al-Ayyubi bersama kerajaan Syiah Fatimiyyah. Dan kini kesinambungan permusuhan dan pengkhianatan itu berterusan di zaman Khomeini.

Wednesday, September 13, 2006

KHOMEINI DAN SYIAH 10

Sikap Melampau Terhadap Fatimah Az-Zahra’

Sesungguhnya kecintaan Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap Fatimah Az-Zahra’ merupakan sejuzuk daripada kecintaan terhadap bapanya SAW, suami dan anak-anaknya. Tetapi kecintaan itu tidaklah mendorong kepada menisbahkan beliau dengan apa yang tidak sepatutnya dinisbah.

Akan tetapi Khomeini telah mengangkat Fatimah RA kekedudukan yang lebih tinggi daripada Anbiya’ AS. Didalam khutbah beliau yang disampaikan di HusainiahJamaran 2 Mac 1986 sempena Hari Wanita (iaitu hari kelahiran Saidatina Fatimah Az-Zahra’ RA), beliau telah membuat ulasan berhubung dengan sebuah riwayat yang terdapat di dalam kitab Usul Min Al-Kafi oleh Al-Kulaini tentang Fatimah RA. Riwayat tersebut menyebut sesungguhnya Fatimah Az-Zahra’ hidup selepas kewafatan ayahnya selama 75 hari dan sepanjang tempohitu hidupnya penuh dengan kesedihan dan dukacita. Dalam tempoh itu juga Jibrail Al-Amin datang kepadanya untuk mengucapkan takziah serta menyampaikan beberapa perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. (rujuk Usul Min Al-Kafi juzuk 1 ms 240, Bihar Al-Anwar juzuk26 ms. 44 serta Basa’ir Ad-Darajat ms. 43). Khomeini mendakwa bahawa berkemungkinan kejayaan revolusinya di Iran adalah sebahagian daripada apa yang telah diberitakan oleh Jibrail kepada Fatimah Az-Zahra’!

Khomeini seterusnya menyambung lagi dakwaan bahawa turunnya Jibrail AS kepada seseorang bukanlah dakwaan yang boleh dianggap remeh kerana Jibrail AS menurutnya, tidak akan turun melainkan apabila berhasilnya kesesuaian antara roh dan ini hanya berlaku antara Jibrail AS dengan para Nabi. Khomeini juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan riwayat yang menceritakan tentang turunnya Jibrail kepada para imam. Oleh yang demikian, turunnya Jibrail AS ini kepada Fatimah Az-Zahra’ RA adalah merupakan kelebihan khusus buat Fatimah RA!

Tuesday, September 12, 2006

KHOMEINI DAN SYIAH 9

Pandangan Syiah Terhadap Ahli Sunnah wa Al-Jamaah

Syiah Imamiah menganggap mana-mana pihak yang tidak beriman dengan para imam dan kemaksuman mereka sebagai nawasib, musuh yang diharamkan baginya syurga.


Ibnu Babuweih Al-Qumi menyebut “… Iktikad kami pada seseorang yang mengingkari Imamah Amirul Mukminin dan para imam selepasnya bahawa dia itu berada pada kedudukan orang yang mengingkari kenabian pada nabi.

Dan iktikad kami pada seseorang yang memperakui Imamah Amirul Mukminin tetapi mengingkari Imamah salah seorang daripada para imam selepasnya, bahawa dia itu berada pada kedudukan orang yang beriman dengan kesemua nabi tetapi mengingkari kenabian Muhammad SAW.” (rujuk Al-I’tiqadat ms. 111 serta Bihar Al-Anwar juzuk 27 ms. 62).

Dengan kenyataan seumpama ini (yang turut dikemukan oleh ramai ulamak Syiah yang lain), menatijahkan keputusan bahawa Syiah Imamiah Al-Itsna 'Asyariah mengkafirkan kesemua kumpulan atau ‘firaq’ umat Islam yang lain termasuklah pecahan-pecahan Syiah lain yang berselisih pendapat dalam masalah Imamah kebanyakan imam mereka.

Oleh yang demikian, wajib bagi Syiah membezakan diri dari menyamai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Khomeini di dalam risalahnya bertajuk At-Ta’adul wa At-Tarjih membawa sebilangan riwayat yang melazimkan pengikutnya bercanggahan dan menolak persamaan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

KHOMEINI DAN SYIAH 8

Pendapat Yang Memperlekeh Kedudukan Rasulullah SAW

Tohmahan berlaku sama ada secara langsung mahu pun melalui tohmahan yang dikenakan kepada isteri-isteri Baginda SAW atau para sahabat RA juga melalui kritikan terhadap kesempurnaan risalah baginda SAW.


Khomeini merendah-rendahkan kedudukan Rasulullah SAW sebagaimana yang tersiar di dalam majalah Impact International (24 Ogos 1984) yang diterbitkan di London dan sebagainya.

Aqidah Syiah Menyalahi Ijmak

Ijmak mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai sumber ajaran Islam di sisi Ahli Sunnah wa Al-Jamaah (Surah An-Nisa’ ayat 115).


Rasulullah SAW juga telah bersabda, “Umatku tidak akan bersepakat di atas kesesatan”. Syeikhul Islam Ibnu Taimiah menyebut, “…dan barangsiapa yang berhujah dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak, maka diiktibarkan dia sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah…” ( rujuk Majmu’ Al-Fatawa Al-Kubra juzuk 3 ms. 348) .

Sedangkan Syiah pula mempunyai pandangan yang ganjil dan tersendiri berhubungan dengan ijmak. Di antaranya ialah seperti yang diterangkan oleh ulama besar mereka iaitu Ibnu Al-Mutahhir Al-Houli, “…ijmak itu dianggap sebagai hujah di sisi kami kerana ia meliputi pendapat imam kami yang maksum.


Oleh itu setiap jamaah sama ada besar atau kecil bilangannya , yang mana imam berada dan bersepakat dengan pendapat mereka,maka ijmak jamaah tersebut menjadi hujah dengan penyertaan imam berkenaan, dan bukannya menjadi hujah kerana ia ijmak.” (rujuk Tahdzib Al-Wusul ila Ilm Al-Usul ms. 70, cetakan Tehran 1308H).

Syiah juga berpendapat bahawa apa-apa sahaja pendapat yang menyalahi persepakatan awam (ijmak ummah yang tidak disertai oleh imam), maka pada percanggahan itulah terdapatnya petunjuk. Al-Kulaini menjelaskan bahawa, “…tinggalkanlah apa yang dipersetujui oleh kaum berkenaan (Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerana sesungguhnya petunjuk itu ialah pada menyanggahi mereka!” (rujuk Usul Min Al-Kafi ms. 8, dan Wasa’il Asy-Syiah bab 18 ms. 80).

Khomeini sebagaimana Syiah yang lain turut menyanggahi ijmak sebagaimana yang kelihatan di dalam masalah nikah mut’ah. Penolakan ijmak oleh Syiah menjadi lebih mendalam apabila Khomeini mengaktakan mazhab Imamiah Itsna Aysariah sebagai mazhab rasmi di dalam perlembagaan Iran (fasal 12).

KHOMEINI DAN SYIAH 7

Pendapat Syiah Mengenai Para Sahabat R.A.

Kedudukan para sahabat RA di sisi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas. Keadilan mereka telah mendapat kesaksian dan pengiktirafan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran ( rujuk Surah At-Taubah ayat 100 dan Surah Al-Fath ayat 18). Ahli Sunnah Wal Jamaah beriktikad bahawa para sahabat RA mesti dipandang dari dua sudut iaitu:

• Mereka tidak maksum dalam konteks individu sebagaimana kemaksuman yang Allah khususkan kepada para Anbiya’ dan Rasul. Oleh yang demikian, jika terdapat riwayat sahih yang membuktikan berlakunya kesilapan oleh mana-mana sahabat RA, maka ia tidaklah terkeluar dari perkara yang boleh berlaku di sisi syara’.

• Ijmak mereka adalah maksum dari kesalahan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith “Umatku tidak akan bersepakat di dalam kesesatan” serta hadith-hadith yang lain.

Riwayat-riwayat oleh para ulamak Syiah yang terdahulu dan semasa berhubung dengan masalah ini tidak mempunyai sebarang perbezaan. Kitab-kitab Syiah yang awal telah pun sedia penuh dengan tuduhan-tuduhan terhadap para sahabat RA.


Lihat sahaja Kitab Salim bin Qays (ms. 74-74), Al-Kafi (juzuk 2 ms. 244) , Rijal Al-Kasyi (ms. 6-9 dan 11), Tafsir Al-‘Iyasyi (juzuk 1 ms. 199), Al-Burhan oleh Hasyim Al-Bahrani (juzuk 1 ms. 319), Bihar Al-Anwar (juzuk 22 ms. 345, 351, 352, 440) dan sebagainya. Khomeini sendiri, memuji beberapa ulamak yang mempelopori riwayat jahat berkenaan di dalam bukunya Kasyful Asrar seperti Muhamad Baqir Al-Majlisi (digelar sebagai Khatimatul Muhaddithin oleh Syiah).

Bahkan Khomeini juga memburuk-burukkan para sahabat Rasulullah SAW ini sebagaimana yang kelihatan di dalam bukunya Kasyful Asrar. Misalnya, beliau telah menulis bab “Penyelewengan Abu Bakar Terhadap Al-Quran” dan bab “Penyimpangan Umar Al-Khattab dari Al-Quran” di dalam buku berkenaan. Usaha taqiyyah Khomeini di dalam bukunya Al-Hukumah Al-Islamiah tidak dapat membendung sangkaan jahatnya terhadap para sahabat.


Beliau secara halus cuba meyakinkan kita bahawa wasiat Rasulullah SAW telah dikhianati oleh para sahabat RA dengan tidak melantik Saidina Ali sebagai khalifah.


KHOMEINI DAN SYIAH 6

Syiah dan Sunnah Nabi SAW

Menjadi usul Syiah yang maklum, bahawa umat selepas kewafatan Nabi SAW telah menjadi murtad – Naudzubillah – kecuali tiga atau empat orang sahabat RA sahaja.


Ini menjadi dasar mengapa Syiah tidak menerima sebarang periwayatan yang datang dari para Sahabat RA. Pendapat ini meliputi kesemua kumpulan Syiah sama ada yang radikal, mahu pun yang sederhana seperti yang ditunjukkan oleh Asy-Syeikh Muhammad Hasan Ali Kasyif Al-Ghita’ di dalam kitabnya Aslul Syiah wa Usuluha di mukasurat 79. Begitu juga dengan pendapat Asy-Syeikh Husain bin Abdus Samad Al-Amili (984H) di dalam kitabnya yang masyhur Wusul Al-Akhyar Ila Usul Al-Akhbar.

Khomeini pula membuat tuduhan jahat terhadap Abu Bakar As-Siddiq RA dan Samrah bin Jandab RA yang kononnya mencipta hadith palsu demi kepentingan diri masing-masing. Beliau mendakwa hadith “Kami para Nabi tidak mewariskan harta bahkan apa yang kami tinggalkan
adalah sedekah” sebagai hadith palsu ciptaan Abu Bakar As-Siddiq untuk menzalimi Saidatina Fatimah Az-Zahra’! Na’udzubillah.

Sebagai ganti kepada sunnah yang didustakan, mereka beriman pula dengan pendapat pendapat khurafat yang dinisbahkan kepada para imam sebagaimana yang terdapat di dalam buku Usul Min Al-Kafi oleh Al-Kulaini.

Majoriti riwayat di dalam ‘kitab suci’ Syiah ini adalah riwayat marfu’ yang dinisbahkan kepada para imam oleh perawi yang ada di antaranya hidup beberapa kurun selepas imam berkenaan!

Khomeini mengangkat riwayat-riwayat khurafat ini ke martabat Al-Quran dengan kata-katanya “… Sesungguhnya pengajaran para imam adalah seperti pengajaran Al-Quran yang wajib dilaksana dan dipatuhi” ( rujuk kitab Al-Hukumat Al-Islamiah oleh Khomeini di ms. 13).


Bahkan muncul di kalangan Syiah gerakan menghentam sunnah Rasulullah SAW dengan lahirnya kitab-kitab jahat seperti tulisan Abdul Hussein Al-Musawi, dengan tajuk Abu Hurairah, buku yang menghina dan memfitnah Abu Hurairah.

KHOMEINI DAN SYIAH 5

Penyelewengan Al-Quran Menurut Dakwaan Syiah.

Salah satu intipati pengajaran Ahli Sunnah wa Al-Jamaah ialah Al-Quran sebagai sumber, terpelihara daripada penyelewengan sama ada berbentuk penambahan atau pengurangan.


Ia dijelaskan melalui firman Allah di dalam surah Al-Hijr ayat 9. Walau bagaimana pun, Syiah dahulu dan sekarang bersepakat bahawa Al-Quran yang ada di tangan umat Islam hari ini adalah Al-Quran yang telah diselewengkan.

Riwayat-riwayat oleh Al-Kulaini di dalam kitabnya Usul Min Al-Kafi, Al-Majlisi di dalam kitabnya Mir’atul- ‘Uqul dan Bihar Al-Anwar dipenuhi dengan riwayat-riwayat yang menyokong aqidah ganjil ini.


Akidah ini muncul secara jelas pada kurun kedua hijrah, dipelopori oleh Hisyam bin Al-Hakam dan Syaitan At-Taq. Pendapat oleh ulamak Syiah di era klasik, dihidupkan kembali dalam bentuk yang lebih tersusun di zaman kerajaan Safavid (akhir kurun ke-13H) oleh Mirza Hussein An-Nuri At-Thabarisi (meninggal 1320H) di dalam kitabnya Faslul Khitab fi Itsbat Tahrif Kitab Rabbil Arbab yang mengumpulkan kira-kira 1062 riwayat yang kononnya membuktikan
betapa Al-Quran telah terseleweng. Diterbitkan di Tehran pada tahun 1298H.

At-Thabarisi diberi pujian melambung oleh Khomeini di dalam kitabnya Al-Hukumah Al-Islamiah. Khomeini juga menganut tuduhan jahat ini sebagaimana yang kelihatan di dalam tulisannya Kasyful Asrar.

Beliau turut menuduh sahabat Rasulullah SAW mengeluarkan nas dari dalam Al-Quran mengikut kehendak dan kepentingan peribadi mereka.

Khomeini mendakwa bahawa dakwaan umat Islam tentang penyelewengan yang dilakukan oleh Yahudi dan Kristian, sebenarnya juga tsabit dilakukan oleh para sahabat!

Ini adalah kufur yang terang (kufrun bawwah) dari Khomeini dan ia menafikan Islam secara keseluruhannya.

KHOMEINI DAN SYIAH 4

BAB 1 (AQIDAH-AQIDAH GANJIL MAZHAB SYIAH ANUTAN KHOMEINI)

Di dalam bab ini, Said Hawwa memulakan perbahasan dengan membentangkan bab asal usul kemasukan aqidah yang syaz ke dalam pegangan Syiah. Pengaruh ajaran Majusi, Yahudi dan falsafah asing banyak terserap sehingga menjadi sebahagian daripada usul Syiah.

Mazhab Syiah Imamiah Itsna Asyariah (Imam 12) telah menghukum sesat aliran-aliran Syiah yang melampau seperti Al-Ismailiyyah dan An-Nusairiyyah sedangkan ia sendiri mendukung fahaman yang tidak kurang penyimpangannya.


Persoalan Imamah

Said Hawwa membandingkan konsep kemaksuman Imam yang menjadi usul Syiah, dengan sikap Yahudi dan Kristian terhadap paderi dan rahib mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 31.


Kemaksuman para Imam menurut kepercayaan Syiah menduduki martabat yang lebih tinggi daripada Nubuwwah sehingga mencetuskan syirik pada Uluhiyyah Allah SWT.

Konsep-konsep melampau berkenaan kelihatan di dalam kitab Usul Min Al-Kafi oleh Al-Kulaini, Aqa’id Asy-Syiah Al-Imamiah oleh Ibnu Babuweih Al-Qumi, Awa’il Al-Maqalat dan Tashih Aqa’id Asy-Syiah Al-Imamiah oleh Asy-Syeikh Al-Mufid dan sebagainya.

Manakala Khomeini pula mengukuhkan lagi konsep-konsep melampau ini sebagaimana kenyataan beliau di dalam kitabnya, Al-Hukumah Al-Islamiah.

KHOMEINI DAN SYIAH 3

Persoalan kecintaan kepada Ahlul Bayt Nabi SAW menjadi tumpuan kerana penyalahertian makna cinta inilah yang memulakan perselisihan antara Sunni dan Syiah.

Beliau juga menghuraikan tentang sikap Khomeini yang menyalahi usaha sesetengah golongan Syiah yang cuba menjalankan kegiatan pendekatan Sunni – Syiah(di antaranya usaha melalui Majma’ Taqrib Mazhab).

Khomeini melalui penguasaannya di Iran telah mewartakan perselisihan dan seteruskan mengekalkan khilaf itu ke paras yang lebih kronik. Lantas dengan itu terbitnya beberapa hasil karyanya yang sungguh kontroversi seperti Kasyful Asrar dan Al-Hukumah Al-Islamiah.

Oleh itu, menjadi kewajipan ahli ilmu menerangkan hakikat ini kepada masyarakat agar kebenaran itu dapat disucikan daripada kecelaruan jahiliah yang batil.

KHOMEINI DAN SYIAH 2

Namun, kemerbahayaan aqidah, siasah dan kesan sosial yang dibawa oleh Khomeini melalui revolusinya,menyebabkan para ulama sunni yang munsif tidak berlengah menyedarkan umat Islam tentang hakikat yang terselindung di sebalik gah Khomeini.

Di antara ulama yang segera bertindak ke arah itu ialah Al-Marhum Said Hawwa, seorang ulama dan daie yang terkenal dari Syria. Beliau telah pergi sendiri ke Iran untuk meninjau situasi di sana dan menilai sejauh mana Revolusi Iran benar-benar ‘Islam’.

Hasil kunjungan itu, buku kecil bertajuk Khomainiyyah – Syudzuz fi Al-‘Aqaid wa Al-Mawaqif terhasil. Bagi pembaca yang biasa menelaah buku karangan Al-Marhum kita akan dapati penulisan Said Hawwa di dalam buku kecilnya ini adalah dengan intonasi bahasa yang berbeza.


Beliau nampaknya begitu tegas dengan setiap butiran fakta dan perkataan yang dibentang, sesuai dengan kemerbahayaan ancaman Khomeini dan Khomeinisma itu sendiri.

Al-Marhum Said Hawwa telah membahagikan risalahnya ini kepada dua bab utama. Bab pertama membicarakan tentang keganjilan Khomeini dari aspek aqidah. Keganjilan itu bukanlah keganjilan yang terasing, bahkan ia adalah keganjilan aqidah ajaran Syiah itu sendiri, khususnya merujuk kepada Syiah Imamiah Itsna Asyariah yang menjadi mazhab rasmi Iran tatkala ini.

Manakala bab kedua pula membincangkan tentang keganjilan Khomeini di dalam prinsip dan pendirian politiknya.

Persoalan aqidah mendahului perbincangan mengenai politik, kerana aqidah adalah mizan mutlak yang dipakai dalam menilai soal benar atau tidak pegangan seseorang. Andaikata politik seorang tokoh itu hebat dan mengagumkan, tetapi berakar umbikan aqidah yang
menyalahi Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW, maka ia kekal sebagai catatan yang kosong dari makna, jauh sekali dari kelayakan untuk diangkat sebagai qudwah.

Siri KHOMEINI DAN SYIAH 1

Ia berdasarkan buku karangan ulama Ikhwan Muslimin Syria yg dihormati, Sheikh Said Hawa bertajuk Khomainiyyah - Syuudzuz fi Al ‘Aqaid wa Al-Mawaqif

(KHOMEINI: KEGANJILAN PADA AQIDAH DAN PENDIRIAN).

Membahaskan tentang seorang tokoh yang dikenali ramai sentiasa mengundang kontroversi. Khomeini merupakan seorang figure yang bagi para penyokongnya, seorang tokoh ulung yang sentiasa dijulang dan dipuja.

Kejayaannya menjatuhkan regim Shah Iran melalui Revolusi Iran telah mengangkat Khomeini sebagai idola politik bahkan agama oleh mereka yang mengaguminya.

Walau bagaimanapun, politik abad ke-20 bukanlah suatumedan yang cetek sehingga analisa dan andaian boleh dibuat dengan mudah. Tidak semua yang dilihat dengan mata kasar merupakan hakikat yang tersurat lagi tersirat.

Adakalanya sebentuk kejayaan yang dicapai ketika masa berada dalam tekanan, menjadikan mereka begitu cepat menerima, tanpa banyak soal.

Lihat sahaja tindakan Ataturk memindahkan ibu kota Turki dari Istanbul ke Ankara, merupakan tindakan siasah yang bijak. Ankara pada ketika baru sahaja dilanda krisis akibat kebakaran besar yang hampir memusnahkan bandar itu, menjadi sebab Ataturk disambut dengan sepenuh hati oleh penduduk tempatan.

Khomeini telah kembali ke Iran dari tanah buangannya di Perancis, membawa rakyat keluar dari kekejaman regim Shah Iran. Beliau tiba di Iran tepat pada masanya!