Tuesday, September 12, 2006

KHOMEINI DAN SYIAH 2

Namun, kemerbahayaan aqidah, siasah dan kesan sosial yang dibawa oleh Khomeini melalui revolusinya,menyebabkan para ulama sunni yang munsif tidak berlengah menyedarkan umat Islam tentang hakikat yang terselindung di sebalik gah Khomeini.

Di antara ulama yang segera bertindak ke arah itu ialah Al-Marhum Said Hawwa, seorang ulama dan daie yang terkenal dari Syria. Beliau telah pergi sendiri ke Iran untuk meninjau situasi di sana dan menilai sejauh mana Revolusi Iran benar-benar ‘Islam’.

Hasil kunjungan itu, buku kecil bertajuk Khomainiyyah – Syudzuz fi Al-‘Aqaid wa Al-Mawaqif terhasil. Bagi pembaca yang biasa menelaah buku karangan Al-Marhum kita akan dapati penulisan Said Hawwa di dalam buku kecilnya ini adalah dengan intonasi bahasa yang berbeza.


Beliau nampaknya begitu tegas dengan setiap butiran fakta dan perkataan yang dibentang, sesuai dengan kemerbahayaan ancaman Khomeini dan Khomeinisma itu sendiri.

Al-Marhum Said Hawwa telah membahagikan risalahnya ini kepada dua bab utama. Bab pertama membicarakan tentang keganjilan Khomeini dari aspek aqidah. Keganjilan itu bukanlah keganjilan yang terasing, bahkan ia adalah keganjilan aqidah ajaran Syiah itu sendiri, khususnya merujuk kepada Syiah Imamiah Itsna Asyariah yang menjadi mazhab rasmi Iran tatkala ini.

Manakala bab kedua pula membincangkan tentang keganjilan Khomeini di dalam prinsip dan pendirian politiknya.

Persoalan aqidah mendahului perbincangan mengenai politik, kerana aqidah adalah mizan mutlak yang dipakai dalam menilai soal benar atau tidak pegangan seseorang. Andaikata politik seorang tokoh itu hebat dan mengagumkan, tetapi berakar umbikan aqidah yang
menyalahi Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW, maka ia kekal sebagai catatan yang kosong dari makna, jauh sekali dari kelayakan untuk diangkat sebagai qudwah.

No comments: